Review Novel: Nalar

“NOTE: This post will be in Bahasa Melayu.”

Bismillahirrohmanirrohim, Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi maha Penyayang.

Assalamualaikum, pembaca semua. Seperti yang terpapar sebagai tajuk entri, hari ini Diha akan review novel Nalar, karya yang ditulis oleh Sharina Elisa.

Luarannya, novel Nalar ini kelihatan seperti sebuah novel dengan kandungan cerita yang berat. Lebih-lebih lagi kulit buku yang mempamerkan aura misteri dan ditambah lagi dengan tagline ‘Biar dia rasa harga sebuah dosa’ yang membuatkan Diha begitu tertarik untuk memulakan pembacaan.

Sejujurnya, Diha ambil masa selama lebih kurang 30-45 minit sahaja untuk menghabiskan pembacaan Nalar, iaitu ketika Diha menaiki tren dari stesen Shah Alam ke stesen Putra. Bukan kerana cerita yang disampaikan itu terlalu pendek tetapi sebaik sahaja Diha tamatkan satu muka surat, Diha tak boleh berhenti dari menyelak ke muka surat seterusnya. Sudah habis baca satu bab memang tidak boleh berhenti dari beralih ke bab seterusnya.

Boleh dikatakan, Diha jadi ketagih untuk cepat menamatkan cerita kerana tidak sabar mahu tahu apa yang terjadi di hujungnya. Sangkaan Diha benar-benar meleset kerana kandungan novel Nalar ini sangat ringan tidak seperti yang dipamerkan pada kulitnya. Benarlah kata pepatah, Don’t judge a book by its cover.

Bahasa yang digunakan juga sangat mudah. Jalan cerita dan plot tidak memeningkan. Setiap bab tidak dibazirkan. Nalar sangat padat dengan adegan yang tidak mengkhayalkan dan mengandungi begitu banyak pengajaran. Setiap kejadian yang terjadi dalam Nalar terselit pengajaran yang tersirat dan tersurat. Diha sangat yakin novel Nalar bukan sahaja bagus untuk pembaca dewasa tetapi juga sebagai bacaan santai untuk pembaca remaja mahupun yang berusia lebih muda lagi.

Diha tabik penulisnya, Sharina Elisa, yang berjaya membuat Diha jatuh cinta pada sebuah novel bergenre thriller ringan. Buat penulis, teruskan usaha anda untuk menghasilkan lebih banyak karya sebegini. Anda juga berjaya menghasilkan karya yang meskipun bahasa yang digunakan dan jalan cerita yang diketengahkan agak ringkas tetapi penyampaian anda tidak mengecewakan.Tidak puas rasanya Diha baca novel ini. Lepas ini boleh anda hasilkan karya di bawah genre ini lagi.

Sesungguhnya, Diha agak tidak berpuas hati soal penamat Ghaffar yang Diha rasakan tidak adil untuk Fella dan Fathul yang sudah bersusah-payah selama ini. Meskipun sudah tiba di muka surat akhir novel Nalar, Diha masih lagi mengharapkan Ghaffar menerima balasan yang lebih setimpal. Walaubagaimanapun, Diha tetap gembira dengan perjalanan, perkembangan dan kesimpulan buat watak Fella dan Fathul. Watak sokongan lain juga memainkan peranan tersendiri dalam usaha penulis menyampaikan Nalar.

Untuk tahu apa sebenarnya yang Diha maksudkan, boleh dapatkan novel Nalar yang ditulis oleh Sharina Elisa di website www.bukuso.com dengan harga RM23 (semenanjung)/RM26 (Sabah/Sarawak). Jangan susah hati, novel Nalar juga boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran anda.

Ini memang rekomendasi Diha sendiri jadi jangan tunggu lagi dan dapatkan novel Nalar sekarang! Anda tidak akan hampa.

Sekian review dari Diha hari ini. Terima kasih sudi membaca dan jangan lupa lawat website yang Diha sudah letakkan bersama entri ini. Di bawah adalah gambar buku Nalar yang sudah berjaya menjadi salah satu koleksi buku terbitan SO Publishing yang Diha miliki.

Assalamualaikum.

#bukuso #dahbacakebelumIMG_20170326_133739_HDR.jpg